KOTA TINGGI – Myanmar memohon Malaysia untuk menyediakan sebuah hospital medan di negara tersebut ekoran bencana gempa bumi dahsyat yang melanda pada 28 Mac lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dalam lawatan dilakukan Menteri Luar ke negara itu terdapat beberapa perkara yang dibawa kepada pihak kerajaan termasuklah permohonan menyediakan hospital tersebut.
“Kita sebagai pengerusi Asian mengambil peluang dan ruang untuk kita mengkoordinasikan bantuan bantuan yang perlu disampaikan kepada Myanmar.
“Saya difahamkan apabila Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mewakili Malaysia pergi ke Myanmar ada permohonan dipohon oleh pihak Myanmar untuk beberapa perkara yang saya percaya akan dibawa ke pihak kerajaan untuk dibuat keputusan antaranya Myanmar memang ada mohon kita menyediakan hospital lapangan.
“Ini perlu kita bincangkan secara lanjut. Dalam soal ini saya percaya semua negara yang membantu dia akan berpandukan kepada perbincangan ataupun keputusan yang akan di koordinasikan oleh pihak bertanggungjawab di Myanmar,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kota Tinggi di Dewan Jubli Intan Kota Tinggi hari ini. – KOSMO! ONLINE