WASHINGTON – Wabak demam campak membunuh kanak-kanak kedua di barat daya Amerika Syarikat(AS), kata pihak berkuasa kelmarin.
“Kami dengan amat sedih melaporkan bahawa seorang kanak-kanak di usia persekolahan yang disahkan menghidap demam campak baru-baru ini telah meninggal dunia,” kata Aaron Davis selaku timbalan presiden pusat perubatan Sistem Kesihatan UMC di Texas.
Menurutnya, pesakit dirawat kerana komplikasi demam campak di UMC dan tidak mendapat pelalian campak serta tidak mengalami masalah kesihatan lain.
Dalam pada itu, Setiausaha Kesihatan, Robert F. KennedyJr, berkata, terdapat 642 kes demam campak di 22 negeri di seluruh AS dengan 499 kes dikesan di Texas setakat kelmarin.
Katanya, Pusat Kawalan Penyakit (CDC) merekodkan kes demam campak dari negeri Alaska hingga ke Florida di samping Bandar Raya New York.
Texas melaporkan kematian pertama demam campak, juga seorang kanak-kanak, lewat Februari lalu sekali gus kematian pertama akibat penyakit itu di AS dalam tempoh hampir satu dekad.
Kematian seorang pesakit dewasa di negeri New Mexico pada bulan lalu turut diklasifikasikan CDC sebagai mempunyai kaitan dengan demam campak.
Menurut CDC, hampir semua kes campak yang disahkan atau 97 peratus merupakan pesakit yang tidak mendapat vaksinasi. – AFP