KOTA SAMARAHAN – Seorang buruh maut dilanggar sebuah kereta selepas terjatuh dari motosikalnya akibat hilang kawalan di Jalan Kota Samarahan-Asajaya di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintendan Damataries Lautin berkata, kejadian pada pukul 11.08 malam itu berlaku ketika mangsa berusia 21 tahun dalam perjalanan dari Asajaya ke Kampung Baru, di sini.
“Motosikal mangsa kemudian hilang kawalan hingga mengakibatkannya terjatuh ke laluan bertentangan lalu dilanggar oleh kereta dari arah bertentangan,” katanya.
Menurut Damataries, lelaki yang memandu kereta terbabit dikenal pasti sebagai peniaga berusia 20 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE