JAKARTA – Perjalanan balik kampung sebuah keluarga dari Jember ke Banyuwangi, wilayah Jawa Timur bertukar cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terjatuh ke dalam parit selepas sesat di kawasan kebun gara-gara menggunakan aplikasi pemetaan, lapor laman berita Kumparan.
Dalam kejadian pada 2 April lalu sekitar pukul 2.30 pagi (waktu tempatan) kereta dipandu wanita bernama Jamilul Huda itu sesat dalam kebun.
Mereka menggunakan aplikasi Google Maps kerana mahu cepat sampai ke destinasi selepas terpisah daripada dua buah kereta lain yang sebelumnya bertolak bersama-sama.
Ketika mahu berpatah balik selepas menyedari kereta melalui jalan mati, kenderaan tersebut terjatuh ke dalam parit.
Ia tidak dapat bergerak, menyebabkan tiga individu yang menaiki kereta itu terpaksa memanggil bomba untuk membantu mengeluarkan kenderaan tersebut.
Penyelaras Bomba Bahagian Genteng Daerah Banyuwangi, Sutikno berkata, kenderaan itu berjaya dibawa keluar, manakala lokasi tersebut adalah jauh dari kawasan penempatan penduduk. – AGENSI