SAUDARA PENGARANG,
Saya terpanggil untuk meluahkan isi hati tentang apa yang berlaku dalam suasana umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika ini.
Benar, hari raya adalah masa terbaik untuk kita berkumpul sambil menikmati juadah istimewa yang disediakan untuk sanak-saudara dan tetamu ketika datang bertandang ke rumah.
Namun, sudah menjadi lumrah apabila ada dalam kalangan tetamu lebih-lebih lagi yang mempunyai talian rapat dengan kita, mereka datang beraya dengan membawa tujuan tertentu iaitu sekadar mahu membelek harta benda yang dipamer oleh tuan rumah.
Dari awal muka pintu, sudah nampak perubahan memek muka seperti menumpukan sesuatu termasuk barangan kemas yang dipakai, perabot mahupun hiasan kediaman. Ini belum masuk di ruang dapur.
Situasi ini lebih menjadi-jadi apabila mereka datang dalam berkumpulan. Makannya sikit tetapi beleknya hingga berjam-jam lamanya, boleh jadi duduk sampai ke lewat petang.
Perbuatan sebegini sepatutnya dielak ketika dijemput bertandang ke rumah, Hari Raya Aidilfitri untuk kita sama-sama mengeratkan silaturahim bukan membelek harta benda sehingga mendatangkan ketidakselesaan tuan rumah.
Puan Liz
Bayan Baru, Pulau Pinang