KELIBAT pemain kebangsaan, Faisal Halim semakin menghadirkan impak besar buat Selangor FC selepas dia memainkan peranan penting untuk membantu kemenangan 1-0 ke atas Terengganu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya kelmarin.
Perkembangan semasa nyata memberikan kepuasan buat pengendali Gergasi Merah, Katsuhito Kinoshi, namun jurulatih dari Jepun itu lebih selesa untuk memberikan kredit kepada semua pemain.
“Ini yang kita boleh lihat, ketika menyerang semua orang saling berhubung sebagai satu pasukan. Pemain kena beri bola kepada Mickey (Faisal) dan dia pun kena berikan bola kepada pemain lain. Jadi, kombinasi ini adalah perkara bagus buat pasukan.
“Bukan hanya mereka (Faisal dan Alvin Fortes), tetapi buat semua orang. Saya faham apa yang bermain di minda kamu, sudah pasti kombinasi ini adalah perkara yang bagus buat pasukan,” katanya.
Pada perlawanan itu, Faisal bijak menghidu kedudukan Fortes bagi membolehkan penyerang import itu menghasilkan jaringan tunggal perlawanan sekaligus mengesahkan kebangkitan selepas dikejutkan Kuching City 1-2 pada 16 Mac lalu.
Walaupun sudah mengesahkan status selaku naib juara Liga Super, Kinoshi bertegas adalah penting buat Red Giants menamatkan saingan musim ini dengan lebih positif iaitu mendapatkan mata maksimum daripada baki saingan.
“Mickey ada mentaliti yang bagus untuk diberikan tugas sebagai kapten yang dianggap contoh kepada pemain lain. Sebagai pasukan di tangga kedua, kami kena fikir yang kami tidak boleh tewas dua kali berturut-turut,” katanya.