JITRA – Sebuah restoran nasi kandar di Jitra dekat sini kecoh semalam setelah diserbu oleh seorang lelaki sebelum mengamuk dengan menakut-nakutkan pekerja premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian pukul 10.35 malam itu amukan lelaki berusia 48 tahun tersebut bagaimanapun diredakan oleh pekerja restoran dan orang awam yang berada di lokasi kejadian.
“Lelaki tersebut disahkan mempunyai masalah sakit mental dan ada kad orang kurang upaya (OKU). Kejadian dipercayai berlaku kerana suspek tidak mengambil ubatnya mengikut jadual.
“Tiada kemalangan jiwa berlaku dan suspek ditahan sejurus selepas polis ke lokasi setelah menerima panggilan kecemasan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, suspek yang berasal dari Wang Tepus, di sini itu dibawa ke balai polis untuk proses dokumentasi.
“Pemilik restoran berkenaan turut membuat laporan polis pada pukul 1.22 pagi tadi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE