HULU SELANGOR – Seorang lelaki maut selepas dihempap lori dipandunya di sebuah tapak pembinaan dekat Antara Gapi, di sini semalam.
Kejadian pada pukul 2 petang itu mengakibatkan mangsa berusia 34 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan akibat tersepit selepas kenderaan berat itu tiba-tiba condong dan terbalik
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd. Asri Mohd Yunus berkata, kejadian berlaku selepas mangsa selesai mengeluarkan kesemua muatan tanah untuk tujuan tambak.
“Tiba-tiba lori itu condong dan mahu terbalik ke kanan. Mangsa bertindak turun dan cuba melarikan diri, namun tidak sempat dan terus dihempap.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Ulu Yam Bharu,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Kuala Kubu Bharu bagi mendapatkan punca kematian. – KOSMO! ONLINE