MERSING – Kegembiraan tiga sahabat mandi-manda di Pulau Mawar di sini bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, seorang lagi masih hilang selepas dibawa arus ombak.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat Endau, Pegawai Bomba Kanan II KUP Azman Yahya berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 2.37 petang tadi.
Katanya, seramai tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar kejadian tiga orang mangsa lelaki dewasa lemas ketika mandi di Pulau Mawar.
“Seorang mangsa lelaki warga tempatan berjaya menyelamatkan diri manakala dua rakannya dipercayai lemas dibawa arus deras. Seorang mangsa lelaki warga Singapura telah di temui terapung dalam keadaan tidak sedarkan diri di permukaan pantai, dan telah di bawa ke pesisir pantai oleh orang awam sebelum PKO tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pencarian diteruskan dengan menggunakan teknik ‘surface searching’ dikawasan sekitar mangsa dilaporkan hilang untuk mencari seorang lagi mangsa merupakan warganegera India yang masih belum dijumpai. – KOSMO! ONLINE