KULAI – Polis sedang menyiasat insiden seorang pekerja asing dipercayai warga India yang ditampar seorang warga tempatan di sebuah premis penjagaan haiwan di Bandar Indahpura, di sini baru-baru ini selepas disyaki mencuri wang.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kejadian itu dikesan pihaknya menerima satu rakaman video tular di platform X.
Menurut beliau, kejadian tersebut dilaporkan seorang pegawai kanan polis dan siasatan awal mendapati ia berlaku di sebuah premis penjagaan haiwan di Bandar Indahpura.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Seng Lee, pihaknya meminta bantuan awam untuk mengesan saksi serta suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE