PASIR PUTEH – Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) menguruskan kira-kira 100 tan sampah sehari sepanjang seminggu sambutan Aidilfitri bermula pada minggu lalu.
Yang Dipertuanya, Mohd. Roshdi Ismail berkata, peningkatan mendadak itu susulan kepulangan anak-anak perantau untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung masing-masing.
“MDPP kebiasaannya menguruskan sebanyak 50 tan sehari pada hari biasa. Peningkatan sekali ganda kepada 100 tan sampah berlaku pada musim perayaan.
“Sepanjang tempoh itu, MDPP telah mengenal pasti enam lokasi tumpuan yang merekodkan pembuangan sampah paling tinggi iaitu Semerak, Limbongan, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Janggut , SMK Cherang Ruku dan laluan Pasir Puteh-Tok Bali,” katanya kepada pemberita selepas Program Kempen Keselamatan Jalan Raya di Bukit Yong, di sini hari ini.
Mohd. Roshdi memberitahu, bagi melancarkan operasi pembersihan, MDPP turut melantik kontraktor bagi menguruskan kutipan sampah di enam lokasi terbabit. – KOSMO! ONLINE