PUTRAJAYA – Kerajaan akan menentukan secara terperici keputusan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif baharu sebanyak 24 peratus kepada beberapa sektor ekonomi dari negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jemaah Menteri akan memastikan beberapa pengecualian yang diberikan negara kuasa besar itu kerana ruang perbincangan dan perundingan masih ada.
“Sebagai sebuah negara, tentunya sebahagian kita mahu ambil keputusan yang agak terlalu keras, tapi kebijaksanaan rakan-rakan Jemaah Menteri adalah untuk pertamanya menentukan apa yang diputuskan secara terperinci.
“Ini kerana kenyataan itu umum dan ruang untuk perbincangan dan perundingan masih ada. Keduanya ada juga beberapa pengecualian yang kita nak pastikan itu dulu. Jadi, mungkin kita ambil jalur yang agak sederhana,” katanya ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Anwar berkata, beliau bersama Kementerian Luar dan Menteri-menteri yang berkaitan akan menghubungi rakan-rakan di ASEAN supaya ada pendirian negara masing-masing.
Katanya, langkah itu agar ASEAN dapat berdiri tegap sebagai suatu kelompok yang besar dengan jumlah penduduk sekitar 640 juta yang mempunyai kekuatan ekonomi antara paling utama di dunia. – KOSMO! ONLINE