SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor akan menanggung sepenuhnya kos sewaan bagi 613 isi rumah yang terjejas akibat bencana baru-baru ini, melibatkan peruntukan berjumlah RM7.35 juta, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Amirudin menjelaskan, kerajaan negeri telah memutuskan untuk menampung sewaan kepada mereka terjejas dengan bantuan sewa sebanyak RM2,000 selama enam bulan.
“Tawaran rumah sewa tetap akan diberikan dan duit sewa akan tetap disalurkan. Jadi, kalau mereka menginap di rumah smart sewa di Kota Warisan Sepang, mereka boleh menggunakan wang itu.
“Airbnb yang menyediakan 87 unit rumah boleh dimulai Rabu ini kepada mereka berminat terutama melibatkan kediaman total lost. Ada yang buat aduan kenapa jauh sangat dan sebagainya, jadi kita putuskan adalah lebih baik berikan duit sewa.
“Kalau mereka berminat di Taman Warisan atau boleh duduk di situ dan begitu juga kalau ke Airbnb boleh tinggal di situ selama dua bulan percuma dan selebihnya ditanggung kerajaan negeri,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Dewan Annex, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini. – KOSMO! ONLINE