ALOR SETAR – Kehadiran isteri kedua Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencuri perhatian terutama dalam kalangan pengunjung Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman rasminya, Seri Mentaloon di sini semalam.
Che Intan Subri turut tampil ketika sesi menyampaikan duit raya kepada pengunjung kanak-kanak mengiringi Menteri Besar itu dan isteri pertamanya, Tok Puan Jusmalailani Jusoh.
Beliau juga dilihat tidak kekok ketika beramah mesra dengan pengunjung yang hadir pada majlis tersebut.
Muhammad Sanusi mengahwini pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden itu pada tahun lepas.
Lebih 50,000 pengunjung terdiri penduduk dari seluruh negeri ini membanjiri kediaman rasmi Menteri Besar seawal 3 petang bagi menjamu selera dan mendekati pemimpin nombor satu Kedah itu. – KOSMO! ONLINE