SUBANG JAYA – Faktor kecuaian dan unsur jenayah antara fokus siasatan pihak polis terhadap insiden letupan paip gais di Putra Heights pada 1 April lalu.
Bagaimanapun kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan berlaku pergerakan tanah dibawah permukaan.
“Fokus siasatan ketika ini menjurus menjurus kepada unsur jenayah dan kecuaian. Ia meliputi banyak aspek, kemungkinan disebabkan faktor manusia.
“Selain itu kemungkinan berlaku pergerakan tanah di bawah permukaan, tekanan tinggi daripada aliran air dan pelbagai faktor lain turut boleh menjadi punca turut menjadi aspek siasatan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), Putra Heights di sini hari ini.
Razarudin berkata, selain memfokuskan siasatan untuk mengesan punca, pihaknya turut menumpukan aspek keselamatan penduduk yang berada di kawasan kejadian.
Dalam pada itu, ketika ditanya tentang operasi hari ini, Razarudin memaklumkan sebanyak 10 agensi yang terlibat di lokasi kejadian.
Jelasnya, antara agensi yang terlibat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan pasukan forensik dan siasatan merangkumi aspek geoteknikal melibatkan keadaan tanah di kawasan kejadian.
“Siasatan termasuk dari sudut geoteknikal iaitu keadaan tanah di kawasan ground zero. Itu adalah sebahagian daripada siasatan penting.
“Pihak polis dan pasukan forensik juga sedang menjalankan tugas mereka di lokasi tersebut untuk menilai tahap keselamatan, pasukan bomba pula akan memastikan semua siasatan forensik dilakukan dengan pemantauan keselamatan rapi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE