KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas bijih timah seberat 30,000 kilogram bernilai RM2.85 juta dalam satu serbuan di sebuah jeti di Rompin pada 11 Mac lalu.
Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 2 pagi itu pihaknya turut menahan lima individu berusia 23 hingga 53 tahun untuk siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan di sebuah lori menemukan muatan yang dipercayai bijih timah disimpan di dalam guni berwarna putih di bahagian belakang lori itu.
“Pemeriksaan selanjutnya yang dilakukan di dalam kapal menemukan muatan yang dipercayai bijih timah yang disimpan dalam guni di ruangan penyimpanan dengan setiap guni mengandungi 50 kilogram,”katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Jalan Bank, di sini hari ini.
Menurutnya kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 116C Akta Kastam 1967 bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 36 (1), Seksyen 52(1) dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Katanya, siasatan awal mendapati sindiket mengimport sumber mineral dari luar negara tanpa dokumen yang sah dan mendaratkan di jeti haram pada waktu pagi untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
“Sumber mineral ini dipercayai diproses di negara ini dan rampasan bijih timah adalah kali pertama di Pahang tahun ini dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM4.1 juta termasuk bijih timah RM2.85 juta serta kapal dan lori,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai diminta membantu pihak kastam membanteras aktiviti penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.
Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan boleh menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam negeri,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE