fbpx

Jenazah seniwati legenda Noor Azizah selamat dikebumikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANAK Allahyarham Noor Azizah, Khairi menyiram pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh di Ipoh hari ini.

IPOH – Jenazah Allahyarham seniwati legenda, Datin Noor Azizah Azizul Hassan, 78, yang meninggal dunia awal pagi tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh di sini hari ini.

Jenazah pelakon veteran yang popular menerusi filem klasik Enam Jahanam arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu dikebumi pada pukul 2.50 petang.

Lebih 100 orang terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan Allahyarham menghadiri pengebumian itu termasuk penyanyi terkenal era 70-an yang juga Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa dari kediamannya di Kampung Sungai Rapat di sini dengan van ke Masjid Paloh untuk solat jenazah pada pukul 1 tengah hari.

Allahyarham meninggalkan suami, Datuk Nik Hussain Nik Ali, 94, dan dua anak iaitu Khairena dan Khairi berusia 38 dan 34 tahun serta menantu dan seorang cucu berusia enam tahun.

Menurut Khairena, mereka sekeluarga sempat keluar makan malam bersama dan ibunya turut meluangkan masa menyaksikan bunga api.

“Pagi tadi, bapa panggil saya pada pukul 1 pagi kerana ibu mengalami sesak nafas. Melihat keadaan itu, saya mula rasa tidak sedap hati dan segera menghubungi ambulans.

“Ketika ambulans tiba, ibu sudah tidak sedar diri dan pasukan perubatan berusaha menyelamatkannya sebelum dimaklumkan ibu sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, sepupu Allahyarham, Yong Arbeya Abd. Rahman, 69, berkata, kehilangan sepupunya itu amat dirasai kerana Noor Azizah dikenali dalam kalangan keluarga seorang peramah, lemah lembut dan rajin memasak.

“Setiap tahun arwah akan bersedekah di mana terdapat 10 buah rumah anak-anak yatim akan menerima zakat daripada beliau. Di Masjid Paloh ini banyak yang disumbangkan oleh arwah termasuk pendingin hawa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI