PETALING JAYA – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Datin Noor Azizah Azizul Hassan.
Menurut beliau, Allahyarham Noor Azizah seorang seniwati yang satu ketika dahulu mewarnai dunia perfileman tanah air.
“Lakonan Allahyarhamah Datin Noor Azizah Azizul Hassan dalam filem Enam Jahanam arahan Tan Sri P. Ramlee pada tahun 60-an merupakan antara kegemaran peminat filem Melayu.
“Bagi pihak Kementerian Komunikasi, saya zahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Fahmi berkata, beliau mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. – KOSMO! ONLINE