LIVERPOOL – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menjadikan pengadil perlawanan, Darren England sebagai ‘kambing hitam’ ekoran keputusan seri 1-1 dengan Everton di Goodison Park, kelmarin.
Arteta nyata tidak dapat menyembunyikan rasa geram terhadap England yang memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah hingga Everton memperoleh gol penyamaan menerusi sepakan penalti di awal babak kedua.
“Kami mengawal permainan dengan baik dan tidak melepaskan gol menerusi permainan terbuka. Kami gagal mengatasi cara permainan lawan dan tanpa sebab pengadil memberikan penalti kepada Everton,” katanya.
Terdahulu The Gunners yang menguasai permainan membuka jaringan menerusi Leandro Trossard, namun Iliman Ndiaye tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk menghadiahkan kekecewaan buat Arsenal.
Walaupun mendominasi permainan, Arsenal yang dihidangkan beberapa lagi peluang terbaik gagal menembusi gawang lawang yang dikawal oleh Jordan Pickford dan Arteta turut mendakwa pemain lawan, Jake O’Brien wajar dilayangkan kad merah.
“Saya melihat semula (insiden yang menghadiahkan penalti buat Everton) dan ia jelas bukan penalti. O’Brien patut terima kad kuning kedua kerana menghalang penjaga gol, David Raya untuk memulakan serangan balas,” katanya.
Keputusan itu menyaksikan pendahulu liga, Liverpool kini hanya memerlukan empat kemenangan lagi untuk mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini sekali gus memaksa Arsenal berpuas hati dengan status naib juara buat kali ketiga berturut-turut. – AGENSI
07