SETIU – Tiga pengusaha tembikai bersaudara bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga apabila ladang mereka seluas 2.4 hektar di Kampung Nyatuh, di sini, ditenggelami banjir kilat pada Rabu lalu.
Banjir kilat disebabkan hujan lebat berterusan selama 12 jam itu menyebabkan lebih 9,000 biji tembikai yang sedang menunggu masa untuk dituai mengalami kerosakan.
Mohd. Nasirudin Ibrahim, 36, berkata, dia mengusahakan ladang tembikai tersebut bersama abangnya, Mohd. Azhar, 44, dan adik iparnya, Che Mohd. Ariffin Che Ngah, 25.
“Kami tidak menyangka bencana alam ini berlaku memandangkan musim tengkujuh sepatutnya sudah berakhir pada akhir bulan lalu.
“Buah-buah tembikai yang sepatutnya boleh mula dituai kira-kira tiga minggu lagi habis rosak,” katanya ketika ditemui di ladangnya di Kampung Nyatuh, di sini semalam.
Mohd. Nasirudin berkata, kejadian banjir kilat tersebut menyebabkan modal kira-kira RM15,000 dikeluarkan mereka untuk menanam tembikai berkenaan lebur sepenuhnya.
Dia berkata, ia tidak termasuk kos RM650 bagi menaik taraf sistem perparitan di ladang tembikai mereka yang dilakukan baru-baru ini.
“Ia tidak memadai memandangkan sistem perparitan itu tidak mampu menampung kuantiti air yang terlalu banyak berikutan hujan bercampur dengan limpahan Sungai Setiu berhampiran.
“Ladang tembikai kami masih lagi ditakungi air sehingga kini walaupun kejadian banjir kilat sudah lima hari berlalu,” katanya.
Tambahnya, mereka bagaikan jatuh ditimpa tangga kerana hasil tuaian pusingan sebelumnya juga tidak pulang modal ekoran harga siling tembikai telah menjunam sehingga 50 sen sekilogram. -KOSMO! ONLINE