PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak tertentu yang suka mensensasikan perkara-perkara kecil demi kepentingan puak mereka biarpun isu tersebut mampu ditangani dengan baik.
Mengambil contoh isu perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, dan kisah ‘abang belon’ dikasari penguat kuasa, Perdana Menteri berkata, puak-puak berkenaan sengaja mencetuskan isu tersebut seolah-olah berlaku perang besar.
“Sebab itu saya ingin mengesyorkan jangan berikan ruang (kepada mereka ini) kerana seseorang itu dia bebal dan dia tidak fikir kepentingan umum.
“Semuanya mahu dipolitikkan, semuanya mesti dengan cara menghukum, semuanya kafir dan munafik semuanya jahat belaka. Tak boleh begitu,” katanya.
Anwar berkata, memang benar negara ini asas tonggaknya adalah Melayu dan dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dengan kedudukan kerajaan serta majlis raja-raja.
Namun katanya, ia tidak bermakna golongan minoriti lain mesti terus dihina kerana ia tidak pernah menjadi asas dalam ajaran agama.
“Kita mahu angkat martabat orang Melayu ini dengan kekuatan, kesungguhan kerja, amal ikhlas, keperibadian atau syakhsiah kita, bukannya untuk meremehkan orang lain.
“Bila kita beri kuasa, kita sakau, kita malas, bila kita jadi ketua jabatan, kita remeh, tapi kita sibuk pasal kelemahan orang lain. Mana mungkin satu kejayaan dicapai kalau kita tidak bina kekuatan kita sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE