fbpx

Ada mesej ‘lantaklah nak hidup ke nak mati’ dan ‘stress gilalah dengan Zayn ni’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismanira dan Zaim ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh M.Firdaus M.Johari/KOSMO!

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu terdapat beberapa mesej perbualan dalam WhatsApp berkaitan Zayn Rayyan Abdul Matin pada hari kanak-kanak autistik itu hilang di Apartment Damansara Damai di sini, 5 Disember 2023.

Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Superitendan Mohd. Zaidi Abu Hassan berkata, perbualan WhatsApp itu ialah, ‘Zayn hilang’, ‘dia Lari’, ‘lantaklah nak hidup ke nak mati’, ‘letih gila aku mencari’ dan ‘geram betullah’ yang mana kesemua mesej tersebut direkodkan pukul 12.20 hingga 12.59 tengah hari.

Kesemua mesej itu diekstrak daripada telefon bimbit yang dirampas ketika siasatan yang mana salah satunya adalah ‘iCloud’ yang didaftarkan atas nama ‘Ismanira’, manakala Huawei pula menggunakan akaun Google atas nama Zaim Ikhwan.

Mohd. Zaidi berkata, perbualan WhatsApp atas nama ‘Baby Sayang’ dan ‘Manja’ itu diekstrak daripada dua telefon bimbit tersebut serta dua kad sim yang diserahkan oleh pegawai penyiasat kes berkenaan.

Semasa prosiding, mahkamah turut diberitahu terdapat beberapa perbualan WhatsApp pada 20 Jun 2023 antaranya ‘Stressnya sampai rasa macam nak bunuh orang je’, ‘aku nak rehat pun tak leh’, ‘Hang belasah je lah sampai puas’ dan ‘Pastu nanti sakit ke mati baru tahu.

Selain itu, terdapat dua mesej iaitu ’stress gilalah dengan Zayn ni’ dan ‘macam nak bunuh diri je sekarang’ pada 11 Oktober 2023.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-25 itu memberitahu, pada 4 Jun 2024, dia telah diserahkan satu beg plastik mengandungi dua telefon bimbit masing-masing jenis Huawei dan Iphone dalam keadaan baik.

“Hasil pemeriksaan dan analisis ke atas data barang kes jenama Huawei dan mengeluarkan perbualan di aplikasi WhatsApp melibatkan tarikh 20 Jun, 11 Oktober dan 5 Disember 2023.

“Setelah selesai membuat analisis ke atas barang kes yang diterima, saya telah menyediakan Laporan Pemeriksaan bertarikh 6 Jun 2024.

“Sepanjang masa barang kes ini di dalam simpanan saya, barang kes tersebut saya simpan di dalam kabinet besi berkunci kepunyaan saya di dalam bilik barang kes.

”Saya seorang saja yang mempunyai akses ke atas kabinet besi tersebut. Barang kes bersama-sama laporan turut disimpan di dalam almari besi berkunci,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh akan bersambung lagi esok.

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi, manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf masing-masing 30 tahun sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikan anak mereka dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai pada pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI