PETALING JAYA – Seorang lelaki terpaksa menanggung kerugian besar selepas kereta Proton Wira yang diubah suai hangus dalam kejadian letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu.
Perkara itu dikongsikan @Shauqi Ekzos selepas memuat naik gambar ketiga-tiga kereta Proton Wira sebelum dan selepas kejadian di Facebook. Jarak kenderaan itu dan lokasi letupan hanya 100 meter.
Katanya, pada hari kejadian, dia dan rakannya tidak sempat menyelamatkan kenderaan mereka kerana suasana kelam kabut dan menakutkan.
“Waktu (kejadian) itu saya hanya fikir untuk selamatkan diri. Rasa sedih lihat keadaan kereta yang paling saya sayang jadi begitu (hangus), tetapi saya reda dengan dugaan yang menimpa. Mungkin Allah nak gantikan dengan sesuatu yang lebih baik,” katanya.
Orang ramai memberikan kata-kata semangat dan meminta pemuda itu supaya bersabar selain mencadangkan supaya mengambil tindakan atas kerosakan yang berlaku itu.
“Mangsa boleh buat laporan bencana bagi menuntut ganti rugi. Ada insurans dan tuntutan yang boleh dibuat dengan Petronas. Laporan polis juga boleh dibuat. Bawa laporan ke wisma atau pejabat berkaitan,” cadang @Muhammad Raffie.
“Sayang sungguh, bukan sebab tidak mampu beli (kereta) baharu, tetapi ini soal kenangan dan usaha mengurus kereta ini. Kereta boleh dibeli, tetapi kenangan tidak boleh beli,” kata @garciya75
“Kuat semangat abang, Insya-Allah ada hikmah di sebalik apa yang terjadi,” ujar @ALee Autoparts Pj.