SEGAMAT – Seorang wanita cedera selepas diragut dua lelaki bermotosikal sewaktu hari raya aidilfitri yang keempat di Taman Astakajaya, Buloh Kasap, di sini tiga hari lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, pihaknya menerima laporan daripada mangsa seorang wanita warga tempatan di mana kejadian berlaku pada 3 April 2025 kira-kira pukul 7.08 malam.
“Sewaktu kejadian, mangsa bersama dua rakannya telah didatangi tiga individu tidak dikenali dengan menaiki dua buah motosikal.
“Tiba-tiba salah seorang suspek turun dari motosikal dan merentap rantai leher emas yang dipakai oleh mangsa.
“Mangsa turut mengalami kecederaan akibat terjatuh sewaktu kejadian,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Ahmad Zamry, terdapat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran tempat kejadian.
Katanya, suspek berbadan kurus, berkulit sawo matang, memakai jaket warna hitam lengan panjang dan berseluar gelap, memakai topi keledar warna hitam dengan visor gelap dan menaiki motosikal jenis kawasaki Ninja RR150 warna biru dan Yamaha Y15ZR berwarna hijau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.
Semakan lanjut daripada IPD Segamat juga mendapati satu daripada video tersebut adalah kejadian di Segamat manakala satu video lagi tidak dapat dipastikan lokasi kejadian.-KOSMO! ONLINE