MADRID – Real Madrid menerima berita melegakan menjelang aksi tumpuan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Arsenal minggu depan apabila dua bintang utamanya, Antonio Rudiger dan Kylian Mbappe disahkan bebas daripada hukuman penggantungan.
Kedua-dua pemain itu sebelum ini disiasat oleh UEFA berikutan insiden ketika meraikan kemenangan dramatik menentang Atlético Madrid menerusi penentuan sepakan penalti pada 12 Mac lalu.
Meskipun disabitkan dengan kesalahan “melanggar peraturan asas kelakuan sopan”, Badan Kawalan, Etika dan Tatatertib UEFA hanya mengenakan penggantungan bersyarat selama setahun kepada Rudiger dan Mbappe membolehkan mereka terus beraksi untuk perlawanan penting minggu depan.
Dalam kejadian tersebut, Rudiger dirakam membuat isyarat mengelar leher ke arah penyokong Atlético, manakala Mbappe bertindak keterlaluan dalam ekspresi penuh emosi selepas kemenangan pasukannya.
Sebagai hukuman, Rudiger dikenakan denda €40,000 (RM195,167), manakala Mbappe pula dikenakan denda €30,000 (RM146,375), namun, UEFA memutuskan insiden tersebut tidak cukup berat untuk menghalang mereka daripada beraksi dalam aksi suku akhir.
Sementara itu, Vinicius Junior dibebaskan sepenuhnya daripada sebarang tindakan tatatertib, namun Dani Ceballos dikenakan denda €20,000 (RM97,583) atas tindakannya yang mencetuskan provokasi terhadap penyokong lawan.
Keputusan itu memberi kelegaan besar kepada pengendali Real, Carlo Ancelotti yang sebelum ini sudah kehilangan Aurelien Tchouameni akibat penggantungan.
Rudiger yang menjaringkan penalti kemenangan ke atas Atletico, telah menjadi tonggak utama pertahanan dengan tampil dalam 11 daripada 12 aksi UCL musim ini. – AGENSI