PETALING JAYA – Selesai tugas menggantikan posisi penyampai 3 Pagi Era, Sharifah Shahirah atau Shiera kini berpindah ke konti Sinar FM pula sebagai penyampai baharu stesen tersebut.
Menerusi hantaran dalam Instagram pemilik nama sebenar Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar, 51, dia mendedahkan bakal bertugas di Sinar FM bermula 7 April mengendalikan slot petang.
“Waktu berseronok sudah habis. Masa untuk seronok kerja di tempat baharu pula di Sinar FM pukul 3 hingga 7 petang.
“Semoga dilindungi dan dipermudahkan urusan. Selamat hari raya kawan-kawan,” tulisnya.
Shiera sebelum ini pernah bertugas sebagai penyampai di stesen Suria FM selama tujuh tahun sejak 2018.
Namun pada Februari lalu dia mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak bersama stesen itu.
Bulan lalu, Shiera dilamar sebagai penyampai undangan bagi menggantikan trio penyampai 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Raden yang direhatkan susulan kontroversi menyentuh sensitiviti penganut agama Hindu. – KOSMO ONLINE!