LENGGONG – Keadaan seorang pekerja lelaki warga Indonesia yang terperangkap dalam lubang pembetung di tapak pembinaan sebuah resort di Kampung Ibol, Sumpitan, di sini hari ini dilaporkan kritikal.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, lelaki berusia 31 tahun itu kini menerima rawatan lanjut di Hospital Taiping.
“Maklumat kejadian diterima pada pukul 10 pagi membabitkan lapan lelaki berusia 25 hingga 55 tahun mengalami sesak nafas dalam tangki kumbahan yang dalam proses pembinaan.
“Dalam kejadian itu, dua orang lelaki warga tempatan berusia 29 dan 37 tahun dibawa keluar dari lubang pembetung oleh pekerja lain, namun mereka meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, terdapat dua lagi mangsa yang kritikal dan mereka dibawa ke Klinik Kesihatan Lenggong, namun seorang daripadanya iaitu pekerja lelaki warga Indonesia berusia 25 tahun disahkan maut manakala seorang lagi dihantar ke Hospital Taiping.
Katanya, empat lagi lelaki masing-masing dua warga tempatan dan dua Indonesia yang turut mengalami sesak nafas ketika membantu mengeluarkan mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan.
“Jasad dua lelaki warga tempatan itu kini berada di Hospital Taiping untuk proses bedah siasat manakala seorang lagi mangsa akan menjalani proses sama di Unit Forensik Hospital Gerik,” katanya. – KOSMO! ONLINE