KUALA LUMPUR – “Adakah sebab saya pernah ada kes, maka saya tak boleh cari rezeki halal? Pada 28 Mac lalu, saya di Sogo jual belon, saya tidak jual dadah”.
Demikian kata abang belon atau nama sebenarnya Muhammad Zaimuddin Azlan berhubung insiden pergelutan dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 28 Mac lalu.
Muhammad Zaimmuddin berkata, adakah dakwaan mengenai kes lampau seolah-olah memberi lesen kepada sesiapa sahaja untuk memukulnya.
“Kalau saya bekas penjenayah, maka saya boleh dipukul, ditendang, diterajang, dicekup leher dan diperlaku dengan zalim?
“Kalau saya miskin, ada kes lampau, adakah DBKL boleh layan saya macam sampah. Adakah maksudnya saya tiada tempat untuk lawan orang yang buat salah dengan saya?” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan semakan rekod lampau terhadap penjual belon berkenaan mendapati lelaki berkenaan mempunyai 13 rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Bagaimanapun, peguam Rafique Rashid berkata, pihaknya tidak akan mengulas berkaitan rekod terbabit memandangkan perkara itu belum disahkan secara rasmi.
“Kita harus faham, kes lampau ini selalunya digunakan bagi isu-isu dimana seseorang itu dituduh ingin mengaku bersalah atau didapati bersalah di mahkamah dan kes lampau akan diguna sebagai faktor pemberatan oleh pihak pendakwaraya.
“Namun, kewujudan kes lampau ini tidak menghalalkan sebarang perbuatan yang melampaui oleh mana orang orang terutama mana-mana badan penguatkuasaan,” jelasnya.
Rafique berkata, dakwaan bahawa Muhammad Zaimuddin berlakon menghadapi kecederaan adalah tidak tepat dimana dia telah dimasukkan ke hospital selama seminggu.
Katanya, laporan polis yang dibuat hari ini adalah sebagai satu peringatan kepada semua badan penguatkuasaan untuk mengambil tindakan secara adil.
Mengulas mengenai tindakan undang-undang, Rafique berkata, pihaknya akan menunggu laporan perubatan penuh.
“Pertama kita buat laporan polis dahulu. Mengikut arahan yang saya terima semalam memang keluarga Muhammad Zaimuddin ingin meneruskan tindakan undang-undang,” jelasnya.
Terdahulu, Muhammad Zaimuddin tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini kira-kira pukul 11.09 pagi tadi.
Sebelum ini tular di media sosial memaparkan pergelutan antara seorang peniaga belon dan penguat kuasa DBKL dalam kejadian di jalan TAR.
Dalam kejadian sekitar pukul 11.30 malam itu, insiden tersebut dipercayai telah menyebabkan peniaga berkenaan mengalami kecederaan tulang belakang. – KOSMO! ONLINE