RAUB – Kegembiraan tiga sahabat berkelah di Lata Jarum, di sini sempena cuti Hari Raya Aidilfitri bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemui lemas.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Muhammad Shahrul Ikwan Adam Hareez Islami, 18, dikatakan tergelincir dan jatuh ke dalam air terjun ketika sedang merakam gambar.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Salahuddin Isa berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira pukul 5.42 petang.
“Mangsa berjaya dijumpai oleh pasukan bomba dengan bantuan orang awam pada kedalaman air kira-kira tiga meter.
“Seterusnya operasi untuk membawa naik mangsa ke tebing menggunakan pengusung dan peralatan tali menyelamat,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE