fbpx

Raya sudah tiada dalam kamus hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAZUAIN (kanan) ketika menerima kunjungan dari Pertubuhan Amal Bakti Mersing untuk menyerahkan sumbangan di kediaman sewanya di Kampung Sawah Dato’, Mersing baru-baru ini.

MERSING – Kemalangan jalan raya mengubah kehidupan seorang remaja ceria di Kampung Sawah Dato’ di sini apabila kini terlantar dan hilang ingatan.

Ibunya, Mazuain Setapa, 43, berkata, anaknya, Muhammad Rahimeekarnain Abdul Razak, 17, terlibat kemalangan dengan sebuah kereta ketika dia membonceng motosikal rakannya Februari lalu di Kampung Tenglu.

Katanya, ekoran kemalangan itu, anaknya mengalami gegaran otak dan hilang ingatan menyebabkan dia kini tidak mengenali orang disekelilingnya.

“Dia dirawat selama 10 hari di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru. Doktor maklumkan dia alami gegaran otak. Kesannya dia kini tidak boleh bercakap, lupa ingatan dan hanya terlantar.

“Bahkan dia juga kini bergantung pada susu dan menggunakan tiub dimasukkan dari hidung untuk minum selain turut guna lampin pakai buang.

“Dia memang perlukan penjagaan rapi. Dia juga bergantung pada mesin sedut kahak kerana tidak boleh membuang kahak sendiri. Doktor menyarankan kami agar sentiasa bercakap de­ngannya, namun sehingga kini dia masih belum mampu memberi respon,” katanya.

Terdahulu, Mazuain menerima kunjungan dari Pertubuhan Amal Bakti Mersing untuk menyerahkan sumbangan barangan makanan, lampin pakai buang dan juga susu di kediaman sewanya di Kampung Sawah Dato’ Mersing di sini.

Ibu kepada empat orang anak itu berkata, Muhammad Rahimeekarnain seorang yang ceria bahkan tahun ini dia sepatutnya mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, sebelum terlibat kemalangan itu anak keduanya itu sempat memberitahu bapanya Abdul Razak Unus, 40, dia mahu belajar bersungguh-sungguh.

“Bapanya bekerja bengkel dan meraih pendapatan secara ha­rian, saya pula hanya suri rumah. Sekarang fokus memang hanya kepada kesihatan anak sahaja.

“Hendak sambut Syawal pun tidak semangat bila lihat anak terlantar dan tidak boleh makan sedangkan kita boleh makan,” katanya lagi.

Orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan boleh menyumbang ke akaun Public Bank Abdul Razak Unus 4-7946940-13.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI