KUANTAN – Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal jenis Yamaha Y15 ZR ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Cherok Paloh berhampiran lapang sasar Kampung Hijrah di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi itu berlaku ketika mangsa Muhammad Harisz Safwan Suhaimi,18, dalam perjalanan dari arah Pekan menghala ke arah Kuantan.
“Apabila sampai di tempat kejadian motosikal ditunggang mangsa dipercayai masuk ke laluan kereta dan berlaku perlanggaran.
“Akibat kejadian mangsa tercampak ke bahu jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu dan dua penumpang kereta mengalami kecederaan,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutran Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian permukaan jalan rata dan kering. – KOSMO! ONLINE