KUANTAN – Seorang pengurus syarikat mengalami kerugian sebanyak RM703,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud melalui aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada awal Julai lalu apabila mangsa yang merupakan wanita berumur 47 tahun memuat turun satu aplikasi pelaburan dengan pautan diberikan suspek.
“Kemudian mangsa telah membuat pelaburan secara berperingkat dengan tujuh kali transaksi ke empat akaun bank berbeza.
“Mangsa telah dimaklumkan mengenai keuntungan yang diperoleh melalui aplikasi tersebut namun tidak dibenarkan membuat pengeluaran,”katanya di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa kemudiannya menyedari ditipu setelah diminta menambah modal pelaburan sebelum membuat laporan polis.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal mendapati sumber kerugian mangsa adalah daripada duit simpanan mangsa, duit suami dan pinjaman daripada majikannya.
“Pihak Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan keuntungan tinggi.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE