REMBAU – Polis sedang mengesan pemandu kereta yang dipercayai terbabit dalam kemalangan tular di kilometer 239.2, Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara), di sini, malam semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, pihaknya telah mengesan pemilik rakaman papan pemuka yang akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) tengah hari ini bagi membantu siasatan.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Renault Kangoo dipandu salah seorang daripada tiga adik-beradik perempuan yang dalam perjalanan pulang beraya dari Pontian, Johor ke Gombak, Selangor.
“Dalam kejadian kira-kira pukul 10.35 malam itu, pemandu yang merupakan penuntut sebuah Universiti Awam bersama dua lagi adik beradik berusia 18 dan 22 tahun menaiki kenderaan milik ibu mereka.
“Apabila tiba di lokasi, pemandu telah menukar laluan dari lorong kanan ke lorong tengah. Namun secara tiba-tiba, pemandu terkejut melihat sebuah kenderaan (tidak pasti jenis, nombor plat) berada di belakang sebelah kanan bergerak terlalu hampir.
“Pemandu telah bertindak secara spontan memaut stering sehingga menyebabkan van hilang kawalan dan terbalik di sebelah kiri bahu jalan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Azmi lagi, akibat kemalangan berkenaan, pemandu dan penumbang hadapan tidak mengalami sebarang kecederaan, bagaimanapun, penumpang bahagian belakang cedera di kepala serta dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban bagi rawatan lanjut.