DUNGUN – Bukan sehari dua, malah sudah 15 tahun penduduk Hulu Dungun dekat sini terpaksa berhadapan dengan masalah lembu dan kerbau berkeliaran hingga ke jalan raya.
Isu itu membelenggu kehidupan lebih 1,000 penduduk di Kampung Tepus, Kampung Kuala Jengai, Kampung Rantau Panjang dan Kampung Jongok Batu di sini, hampir setiap hari termasuk pada musim perayaan Aidilfitri ini.
Seorang penduduk, Aisya Shahida Mohamad, 25, berkata, masalah tersebut disebabkan sikap ambil ringan segelintir penternak yang melepaskan lembu dan kerbau peliharaan mereka tanpa kawalan.
Dia yang menetap di Kampung Jongok Batu berkata, lembu dan kerbau dibiarkan bebas meragut rumput sehingga sebahagian ternakan terlepas ke jalan raya.
“Ada lembu dan kerbau yang tertidur di tengah-tengah jalan raya sehingga membahayakan pengguna.
“Tidak cukup dengan itu, najis ternakan tersebut bersepah di jalan raya,” katanya kepada Kosmo! Ahad di Kampung Jongok Batu di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Aimuni Najiha Adnan, 32, berkata, dia pernah terlanggar seekor kerbau yang tiba-tiba melintas jalan beberapa tahun lalu.
“Saya yang ketika itu dalam perjalanan ke Kampung Pasir Raja di sini tidak sempat membrek kereta lalu merempuh kerbau itu.
“Mujur nyawa saya masih panjang, tetapi kereta saya rosak teruk. Saya geram apabila tiada penternak mengaku itu ternakan mereka,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kampung Kuala Jengai, Che Ku Rahimi Che Ku Mat Salleh berkata, isu lembu dan kerbau turut mencemarkan imej pelancongan di mukim tersebut yang sedang meningkat naik.
“Malu kami ramai pelancong yang berkunjung ke Air Terjun Chemerong dan Lubuk Kain serta Taman Eko-Rimba merungut perjalanan mereka diganggu kumpulan lembu dan kerbau terbabit.
“JPKK dengan kerjasama polis pernah ambil inisiatif bertemu dengan penternak, tetapi perubahan positif hanya bertahan beberapa bulan,” katanya.