MELAKA – Seorang gadis orang kurang upaya (OKU) dilaporkan hilang selepas keluar bermain di taman permainan di Taman Rambai Idaman, Bukit Rambai di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan telah dibuat oleh ibu mangsa berusia 48 tahun selepas gagal mengesan anaknya, Nurin Wardina Hairi, 18, yang merupakan OKU pembelajaran.
Katanya, kali terakhir mangsa dilihat pada pukul 3 petang ketika keluar rumah untuk bermain di taman permainan.
“Ibu mangsa memaklumkan anaknya bertutur seperti kanak-kanak berumur tiga tahun. Mangsa kerap berkunjung ke taman permainan itu untuk bermain buaian, namun semalam dia tidak pulang sehingga pukul 5.30 petang,” katanya hari ini.
Menurut beliau, ahli keluarga mangsa mencari remaja itu dan ada penduduk mendakwa melihat Nurin menaiki sebuah kereta jenis Perodua Kelisa.
“Sebelum kejadian, ibu mangsa keluar menghantar anak keduanya ke tempat kerja. Dia melihat kereta Kelisa berwarna silver (perak) parkir berhampiran rumahnya, namun beranggapan ia milik pengunjung inap desa.
“Bapa mangsa membuat pencarian dengan dibantu penduduk, salah seorang daripada mereka mendakwa ternampak Nurin menaiki kereta Kelisa tersebut,” ujarnya.
Tambahnya, Nurin juga didakwa menaiki kereta itu secara rela, menyebabkan saksi beranggapan ia dipandu oleh saudara-mara mangsa.
Pegawai penyiasat pergi ke lokasi kejadian dan mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pergerakan kereta tersebut. Setakat ini kes diklasifikasi sebagai Orang Hilang. – KOSMO! ONLINE