SUBANG JAYA – Semua institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta diarah melaksanakan kelas secara dalam talian bagi memudahkan pelajar yang terkesan dalam insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights 2 April lalu.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Azlinda Azman berkata, arahan itu bertujuan memberi fleksibiliti kepada pelajar yang terkesan agar mereka tidak ketinggalan dalam pengajian masing-masing.
“Saya telah mengarahkan semua IPT awam dan swasta untuk melaksanakan kelas secara online. Fleksibiliti memang ada di IPT, bersedia serratus peratus untuk membantu anak-anak ini,” katanya.
Setakat ini, seramai 80 pelajar dikenali pasti terjejas dan menerima bantuan wang tunai sebanyak RM2,000 setiap seorang.
Bantuan turut disalurkan kepada pelajar daripada pelbagai institusi termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sunway University, MSU dan Nottingham University.
Azlinda berkata, pihak kementerian juga sedang berusaha mendapatkan bantuan tambahan bagi pelajar yang kehilangan atau mengalami kerosakan pada peralatan elektronik seperti computer riba, dengan Kerjasama Kementerian Digital.
Selain bantuan kewangan, sokongan psikososial turut diberikan dengan menggerakkan kaunselor dan pakar perubatan di setiap universiti.
Seramai 45 pelajar IPT turut terlibat sebagai sukarelawan setiap hari sejak hari kedua kejadian berlaku.
“Kita mahu pelajar-pelajar ini kekal focus dan tidak terjejas dari segi emosi dan akademik mereka,” katanya.
Jumlah keseluruhan peruntukan setakat ini dianggarkan mencecah lebih RM100,000 dan dijangka akan meningkat bergantung kepada bilangan pelajar yang dikenali pasti. – KOSMO! ONLINE