SUBANG JAYA – Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengesahkan kerja-kerja penggalian paip kumbahan oleh kontraktor berhampiran kawasan letupan paip gas di Putra Heights di sini mempunyai permit yang sah.
Memaklumkan perkara itu, Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd. Rahim berkata, kerja-kerja tersebut turut dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Ini kerana, katanya, sebelum ini pihaknya menerima beberapa aduan daripada pelbagai pihak berkaitan kerja-kerja pengorekan tersebut.
“Aduan diterima daripada Sistem Pengurusan Aduan dan siasatan MBSJ juga telah dimaklumkan kepada pengadu.
“MBSJ melakukan siasatan di lokasi kerja-kerja mengorek dijalankan dan mendapati mempunyai permit daripada MBSJ dan Petronas selain mematuhi prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar harian di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Putra Heights hari ini.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan beberapa penduduk Putra Heights menyuarakan kebimbangan melihat aktiviti pengorekan tanah berhampiran lokasi insiden letupan dan kebakaran paip gas bawah tanah itu.
Selasa lalu, kebakaran saluran gas Petronas pada pukul 8.10 pagi itu menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.
Kebakaran itu mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Ratusan rumah mengalami kerosakan dan penduduk yang terjejas ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS). Selain itu, terdapat mangsa yang cedera ekoran bencana dahsyat tersebut. -KOSMO! ONLINE