fbpx

Kebakaran paip gas: 154 rumah selamat diduduki semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein pada sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights hari ini.

SUBANG JAYA – Sebanyak 154 buah rumah yang terjejas dalam insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, di sini disahkan selamat untuk diduduki semula selepas penilaian menyeluruh dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, jumlah itu diperoleh selepas pihak JBPM membuat penilaian ke atas 439 buah rumah dalam radius kawasan yang terjejas.

“Hasil penilaian mendapati 220 daripadanya tidak terjejas dan disahkan selamat, manakala 219 buah rumah lagi dikenal pasti mengalami kerosakan.

“Daripada jumlah itu, 87 buah rumah mengalami kerosakan lebih 20 peratus yang dikategorikan kerosakan besar, manakala 132 rumah lagi mengalami kerosakan kecil (kurang 20 peratus),” katanya pada sidang akhbar harian di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Putra Heights hari ini.

Menurut beliau, rumah yang mengalami kerosakan kecil dibenarkan untuk dibaiki oleh penghuni atau pemilik rumah bermula hari ini dengan senarai kediaman terlibat akan diedarkan kepada tuan rumah masing-masing.

“Sehingga sekarang sebanyak 130 buah rumah boleh diduduki semula (45 rumah pindah).

“Hari ini, sebanyak 24 rumah di Kampung Kuala Sungai Baru. Jadi, jumlah rumah yang boleh diduduki adalah 154 rumah,” katanya.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, pihaknya akan membuka laluan kontra di lokasi kejadian bermula pukul 12 tengah malam ini.

“Semua pengguna lalu lintas dinasihatkan supaya mematuhi arahan petugas dan papan tanda yang dipaparkan.

“Hanya kenderaan petugas dan penghuni yang mempunyai pas khas dibenarkan masuk ke kediaman masing-masing,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI