TUMPAT – Seorang ibu hampir pitam apabila melihat mayat anaknya terbujur kaku di tengah jalan selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal yang bertembung di Kampung Kutan di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 malam itu, mangsa, Afiq Hakim Mohd. Zamry, 18, dan seorang lagi penunggang motosikal, Wan Fadlli Wan Yusof, 53, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sepupu kepada Afiq Hakim iaitu Indra Putra Mohd. Fahmi, 16, yang membonceng motosikal bersama mangsa cedera parah dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.
Ibu kepada Afiq Hakim, Zainitul Asma Mohd. Raza, 38, berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian selepas mengetahui kemalangan menimpa anaknya itu, namun tidak sanggup untuk keluar dari kereta dan melihat remaja berkenaan yang terbujur kaku di atas jalan raya.
“Saya tidak kuat dan kaki rasa berat untuk turun dari kereta. Saya melihat anak yang terbujur kaku di atas jalan raya dari dalam kereta.
“Saya hanya mampu menangis di dalam kereta manakala suami saya pengsan sebaik melihat mayat anak dari jauh,” katanya ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Tumpat di sini hari ini.
Zainitul Asma memberitahu, anaknya itu sedang dalam perjalanan ke kedai sayur-sayurannya bekerja di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong di Kota Bharu.
Katanya, arwah membantunya berniaga di gerai itu semasa sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). – KOSMO! ONLINE