SUBANG JAYA – Tiga beradik yang merupakan pelajar universiti sedih apabila bukan sahaja barangan peribadi, malah komputer riba dan peranti elektronik milik mereka juga rosak ekoran kebakaran paip gas di Putra Heights, di sini Selasa lalu.
Mengimbau semula kejadian itu, Adlyn Abu Samah, 20, berkata, ketika itu mereka sedang tidur sebelum dikejutkan oleh bunyi kuat seperti helikopter dan gegaran seakan gempa bumi.
“Kami tengah tidur masa tu. Mak cik kami yang terdengar bunyi kuat macam helikopter atas kepala. Bila keluar tengok, api dah marak.
“Kami hanya sempat menyelamatkan diri dan membawa telefon bimbit sahaja. Apa yang paling merisaukan mereka ketika itu ialah keselamatan lapan ekor kucing peliharaan,” katanya.
Menurut Adlyn, bapa mereka berlang-alik sehingga empat kali ke rumah untuk menyelamatkan semua kucing itu.
Dalam pada itu, mereka memaklumkan kebanyakan bahan pembelajaran seperti buku berada di hostel memandangkan mereka pulang hanya untuk cuti seminggu sempena Aidilfitri.
Namun, peralatan elektronik seperti komputer riba yang ditinggalkan di rumah kemungkinan besar telah rosak akibat kebakaran.
“Kalau dapat bantuan pelajaran, kami akan utamakan pembelian semula gajet untuk tujuan pembelajaran.
Selebihnya, kami akan bantu keluarga sebab banyak perbelanjaan hangus dekat kenderaan, kereta dan motosikal rosak teruk,” ujarnya.
Walaupun kelas dijadualkan bermula semula esok, mereka masih belum dapat kembali ke kampus kerana perlu menyelesaikan urusan pasca kebakaran terlebih dahulu.
Mereka turut memaklumkan masih menunggu maklum balas pensyarah untuk sebarang pengaturan kelas secara dalam talian. – KOSMO! ONLINE