MANCHESTER – Manchester City menerima tamparan hebat menjelang aksi derbi setempat menentang Manchester United di Old Trafford malam ini apabila pemain bintangnya mengumumkan bakal meninggalkan Etihad.
Pemain tengah, Kevin De Bruyne menerusi akaun Instagramnya mengumumkan bahawa kempen kali ini adalah yang terakhir buatnya di City selepas menghabiskan karier selama 10 musim di kelab tersebut.
Dia telah membuat 413 penampilan bersama pasukan itu dengan menghasilkan 280 gol untuk membantu City muncul sebagai pasukan gergasi di England dan Eropah.
Selepas tiba di Etihad pada 2015, pemain berusia 33 tahun itu telah berjaya merangkul 19 gelaran bersama City dan pengumuman berkenaan nyata menimbulkan perasaan bercampur baur pengendali pasukan itu, Pep Guardiola.
“Hari yang sangat menyedihkan. Satu yang mungkin menggembirakan adalah mengenai kenyataan bahawa saya memiliki De Bruyne untuk membantu kejayaan pasukan selama ini.
“Dia telah menggunakan pengaruhnya untuk membantu kejayaan pasukan. Saya tidak dapat membayangkan tempoh sedekad yang lalu untuk kami mengharunginya tanpa khidmat De Bruyne.
“Sangat menyedihkan apabila salah seorang daripada kami akan meninggalkan pasukan. Vincent (Kompany), Sergio (Aguero), David (Silva) juga meninggalkan kami sebelum ini dan ia sentiasa menjadi tempoh sukar untuk kami harungi.
“Kami masih memiliki enam perlawanan di tempat sendiri dan saya berharap De Bruyne akan menikmati tempoh berkenaan bersama para penyokong. Saya pasti dia akan mendapat penghargaan daripada peminat kerana dia sememangnya layak,” jelas Guardiola. – AGENSI