WASHINGTON – Seorang pemburu menemui seekor beruang jantan hitam berlari laju menggunakan dua kaki seperti mahkluk mitos, Bigfoot di hutan negeri Virginia Barat, lapor portal berita MailOnline semalam.
Kirk Price berkata, dia menemui binatang buas itu ketika melatih beberapa ekor anjing untuk menangkap beruang baru-baru ini.
Namun, apabila Price mengekori anjing-anjingnya, dia melihat sesuatu yang sukar untuk dipercayai.
“Saya seperti tidak percaya apa yang saya lihat. Seekor beruang berlari seperti Bigfoot dengan menggunakan dua kakinya. Ia sungguh pelik,” kata Kirk.
Dia percaya beruang itu lahir dengan hanya dua kaki dan tidak mengalami kecacatan akibat perbuatan pemburu atau haiwan lain.
“Beruang ini benar-benar menakjubkan. Saya tidak akan memburunya,” kata Price sambil menambah, dia percaya haiwan itu beruang jantan dan berusia lapan tahun. – AGENSI