BALING – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan berjaya diselamatkan pasukan bomba selepas terperangkap hampir dua jam dalam kereta di rumahnya, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 11.12 pagi dan sepasukan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan I Samsari Ibrahim tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Kejadian disedari nenek mangsa selepas memanggil kanak-kanak itu berulang kali, tetapi tidak menyahut.
“Bimbang akan keselamatan cucunya, warga emas itu segera mencari. Tiba-tiba dia teringatkan kereta Proton Persona yang diparkir berhampiran rumah tidak berkunci.
“Kereta itu ‘auto lock’. nenek mangsa ternampak cucunya di dalam kereta lalu segera menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkhairi berkata, pihaknya membuka pintu kereta dengan menggunakan peralatan khas dan mengambil masa kira-kira 10 minit.
“Mangsa diselamatkan tanpa sebarang kecederaan. Pihak bomba menyerahkan kanak-kanak itu kepada neneknya kerana ketika kejadian ibu mangsa sedang bekerja,” katanya. – KOSMO! ONLINE