PETALING JAYA – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menyalurkan bantuan khas pesawah berjumlah RM90 juta kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), sebagai usaha bagi membela kebajikan pesawah miskin.
Dalam satu kenyataan, BERNAS berkata peruntukan khas fasa pertama sebanyak RM60 juta disalurkan secara berperingkat kepada KPKM dan pembayaran terakhir sebanyak RM15 juta selesai sepenuhnya pada 5 Mac lalu.
Peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Februari lalu, juga sudah selesai disalurkan kepada kerajaan pada 28 Mac lalu.
Peruntukan khas itu katanya, merupakan wang ihsan syarikat BERNAS dan bukan daripada dana awam,” jelas kenyataan itu, hari ini.
Justeru katanya, ia tertakluk kepada tadbir urus kewangan korporat yang ketat dan pematuhan kewangan dalaman untuk kelulusan sebelum dapat disalurkan kepada kerajaan.
“BERNAS kekal komited terhadap pelan tindakan jangka panjang KPKM dengan mengutamakan kebajikan pesawah bagi menjamin ketersediaan produk dan mendokong agenda keterjaminan makanan negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE