SUBANG JAYA – Sebuah syarikat swasta telah meminjamkan lebih 10 alat pengesan gas kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan menyeluruh mengenai kebakaran paip gas di Putra Heights, di sini.
Wakil MSA Safety, Nur Fadhilah Mohd. Khalid berkata, lapan daripadanya adalah pengesan gas jenis Altair 4XR manakala selebihnya adalah pengesan multi-gas Altair 5X.
Katanya, alat itu dipinjamkan selama mana ia diperlukan bagi membolehkan pihak berkuasa memasuki kawasan kejadian dengan selamat.
“Pengesan multi-gas Altair 5X dilengkapi dengan pam yang membolehkan pensampelan gas secara langsung dari kawasan berisiko.
“Peranti ini dapat mengesan kebocoran gas dalam lingkungan kira-kira 10 kaki dan sesuai digunakan di ruang tertutup dan terbuka,” katanya.
Menurut Nur Fadhilah, pengesan gas Altair 4XR pula beroperasi dalam mod resapan, yang menyerap gas apabila berada berdekatan dengan sumber.
Tambahnya, kedua-dua model akan mengeluarkan amaran jika gas berbahaya dikesan.
“Alat itu telah berada di pasaran sejak 2008 dan digunakan di beberapa lokasi bencana, termasuk semasa insiden pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor, pada Mac 2019,” katanya.
Ujar Nur Fadhilah, ia berupaya mengesan pelbagai gas utama, termasuk oksigen, karbon monoksida, dan hidrogen sulfida. -KOSMO! ONLINE