JERANTUT – Seorang wanita warga Belanda meninggal dunia ketika menyertai aktiviti meneroka gua secara berkumpulan di Gua Kepayang, Trail Keniam-Terenggan, Taman Negara, Kuala Tahan di sini, semalam.
Mangsa, Pommelien Catharina Maria Meijs, 33, dilaporkan tidak sedarkan diri selepas enam jam memulakan aktiviti tersebut bersama 16 individu lain dari pelbagai negara termasuk pemandu pelancong.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 7 malam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.
“Pasukan SAR dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Tahan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil masa antara tiga hingga empat jam untuk tiba di lokasi kejadian.
“Namun, operasi membawa keluar mangsa terpaksa ditangguhkan berikutan trek yang berlumpur, licin dan cuaca yang tidak mengizinkan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, operasi menyelamat turut berdepan cabaran berikutan bentuk muka bumi berbukau dan hanya disambung semula pagi ini menggunakan bantuan helikopter.
“Pasukan SAR turut membersihkan kawasan bagi memudahkan proses mengangkat mayat sebelum dibawa ke Padang FA Jerantut.
“Mayat diserahkan kepada pihak polis pada pukul 11.26 pagi sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk proses bedah siasat,” katanya.-KOSMO! ONLINE