BANGKOK – Seorang tukang sapu di Thailand kini bergelar model untuk pelbagai jenama terkenal selepas gambar kandid memaparkan wajahnya tular di media sosial baru-baru ini, lapor laman berita Oddity Central.
Noppajit Meen Somboonsate, 28, menerima tawaran daripada seorang jurusolek terkenal di Thailand yang dikenali sebagai Nong Chat.
Dia dijemput ke sesi ‘makeover’ untuk mengubah penampilannya kepada watak Panor daripada filem Art of the Devil 2.
Kecantikan Meen sekali gus menjadikannya popular sehingga dia menerima tawaran daripada pelbagai agensi dan jenama mewah.
Susulan populariti itu, Meen diambil sebagai model untuk mempromosikan produk kosmetik baharu Chat, Browit Nong Chat.
Meen sebelum ini menjadi sensasi internet selepas gambarnya dirakam oleh jurugambar jalanan dari Russia, Semyon Rezchikov.
Rezchikov menyiarkan klip video pertemuannya dengan ibu tunggal dua anak itu di platform TikTok pada bulan lalu yang kini mencatatkan 4.1 juta tontonan.
“Saya terkejut apabila diminati ramai selepas bertemu dengan Rezchikov. Ini hanyalah permulaan.
“Saya juga telah berhenti bekerja sebagai tukang sapu untuk memberi perhatian penuh pada kerjaya baharu,” tambah Meen. – AGENSI