WASHINGTON – Presiden Donald Trump melanjutkan tarikh akhir selama 75 hari kepada aplikasi perkongsian video pendek, TikTok untuk dijual atau ia akan diharamkan di Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita United Press International semalam.
Larangan penggunaan TikTok sepatutnya berkuat kuasa pada 19 Januari lalu melainkan pemiliknya, Bytedance dari China menjual aplikasi itu kepada pelabur AS.
Menerusi platform media sosial Truth Social, Trump berkata: “Perjanjian itu memerlukan lebih banyak kerja dilakukan untuk memastikan semua kelulusan yang diperlukan telah ditandatangani.
“Kami berharap untuk terus bekerjasama baik dengan China yang tidak begitu gembira dengan tarif timbal balik,” kata Trump.
China mengumumkan bakal mengenakan tarif tambahan 34 peratus terhadap semua produk yang diimport dari AS bermula 10 April ini.
Pada sama sama, Trump berkata, ramai pembeli berpotensi yang berminat dengan TikTok. Beliau turut berharap untuk ‘melihat TikTok kekal hidup’.
Jurucakap ByteDance mengesahkan bahawa mereka telah berbincang dengan kerajaan AS mengenai penyelesaian yang berpotensi untuk TikTok. – AGENSI