KUANTAN – Seorang juruwang stesen minyak maut manakala seorang lagi remaja cedera parah selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung di Jalan Beserah, berhampiran Klinik Kesihatan Beserah, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa, Muhammad Aidil Aqashah Abdul Malek, 20, yang menunggang motosikal Yamaha Y15 maut di lokasi kejadian selepas tercampak ke laluan bertentangan akibat pelanggaran.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa datang dari arah Balok menuju ke pusat bandar Kuantan.
“Ketika melalui lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha Ego Solariz yang ditunggang seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dipercayai keluar dari simpang Jalan Pelindung sebelum bertembung dengan motosikal mangsa yang berada di laluan kanan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan,” katanya di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE