SHAH ALAM – Penyelia utiliti Selangor, Koridor Utiliti Selangor (Kusel) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MPSJ) diaudit bagi tujuan siasatan termasuk melibatkan dakwaan kerja-kerja pengorekan di kawasan berhampiran kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, audit oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor tersebut supaya kebenaran dapat dibuktikan dan disemak secara telus bagi mengelakkan kekeliruan.
Katanya, kerajaan negeri tiada mempunyai sebarang perkara untuk diselindungi dan menyerahkan kepada bahagian teknikal (audit) bagi melakukan siasatan sewajarnya.
“Mulai hari kedua (kejadian) , audit telah masuk Kusel dan MBSJ. Kedua-dua jabatan itu telah membenarkan sama ada melihat proses kebenaran mengikut jajaran dan aturan telah ditetapkan.
“Bagi saya, tiada apa untuk dilindungi kalau salah, kita akan perbetulkan dan kalau perlu tindakan selanjutnya, kita akan ambil. Itu janji kita dan kita komited ke arah itu.
“Insya-Allah kebenaran dapat dibuktikan namun bagi masa yang selengkapnya untuk disemak betul-betul bagi mengelak sebarang kekeliruan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Dewan Annex, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini.
Terdahulu, isu kerja-kerja korek menjadi polemik dalam kalangan orang ramai terutama daripada segi kebenaran permit sehingga timbul dakwaan aktiviti itu menjadi penyebab kebocoran paip dan letupan gas.
Menurut Amirudin, pihaknya mahu siasatan menyeluruh dan kebertanggungjawaban kepada pihak yang sewajarnya.
Tambahnya, isunya sama ada aktiviti kerja-kerja korek itu memicu kepada kebakaran itu.
“(Berkenaan ada terima aduan kerja-kerja pengorekkan) itu semua akan dinilai pihak terbabit dan kita juga akan menilai apakah tindakan itu bertepatan atau tidak.
“Sebab itu, Kerajaan Persekutuan hantar audit, kerajaan negeri juga benarkan audit masuk untuk lihat semua proses termasuk aduan dibangkitkan oleh penduduk,” katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah dan senarai kontraktor yang terlibat dalam pembinaan di kawasan kejadian.
“Bagi peringkat siasatan ini tidak bolehlah, takut nanti menimbulkan perkara yang tidak sewajarnya atau sebagainya.
“Kita tidak mahu menghukum awal tetapi kita akan siasat semuanya demi keadilan untuk semua. Kalau tidak, kita akan bertindak melulu sehingga tidak terkawal dan akhirnya tidak dapat melihat secara menyeluruh,” katanya.
Tegasnya, beliau akan mengemukakan kepada semua pihak siasatan selepas dimuktamadkan nanti. – KOSMO! ONLINE